Kesan Ambil Ubat Tahan Sakit
Paracetamol seperti Panadol dan Uphamol adalah analgesik paling popular dalam kalangan umum. Selain sebagai ubat tahan sakit, ia boleh digunakan untuk merawat demam.
Kesan jangka panjang pengambilan ubat NSAID termasuk peningkatan risiko kerosakan buah pinggang, pendarahan, terutama jika diambil bersama ubat cair darah warfarin dan ulser perut.
Cara Pengambilan Ubat Tahan Sakit
Antara cara mengurangkan kesan jangka panjang ubat-ubatan analgesik ialah seperti berikut:
- Mengambil analgesik pada masa betul dan dengan dos betul.
- Tidak mengambil analgesik secara berterusan tanpa nasihat doktor.
- Mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat-ubatan lain bersama analgesik kerana sesetengah analgesik boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diambil.
- Tidak mengambil NSAID bersama alkohol kerana dapat meningkatkan risiko ulser perut. Paracetamol juga boleh meningkatkan risiko kerosakan hati jika diambil oleh pengguna alkohol kronik.
- Mengambil ubat-ubatan analgesik selepas makan untuk mengurangkan risiko ulser perut.
- Digalakan menggunakan analgesik dalam bentuk salap kerana kurang memberi kesan sampingan berbanding analgesik dalam bentuk oral.
Selain analgesik, kesakitan boleh dirawat dengan cara lain seperti rawatan komplimentari dan rawatan psikologikal. Rawatan komplimentari termasuk fisioterapi, akupuntur, urut dan pemampatan ais (ice compress), manakala rawatan psikologikal membabitkan kaunseling, sokongan dan galakan rakan.
Jika masih keliru atau ada pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1800 88 6722. Pegawai Farmasi bertugas akan menjawab pertanyaan anda.
Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan