in , ,

Latar Belakang Bangunan Bersejarah Di Malaysia

Berikut adalah Latar Belakang Dan Sejarah Bangunan Bersejarah Di Malaysia yang dapat dikongsi pada anda semua. Di dalam perkongsian ini juga ada disertakan Keistimewaan Bangunan, Asal Usul Bangunan, Reka Bentuk Bangunan, Pengenalan Bangunan, Struktur Bangunan dan lain-lain.

Latar Belakang Bangunan Bersejarah Di Malaysia

1. Bangunan Abdul Samad

Latar Belakang Bangunan Abdul Samad
Nama Bangunan

Nama bangunan ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad. Asalnya hanya disebut sebagai `Bangunan’ sebelum ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad. Nama bangunan ini diambil sempena nama DYMM Sultan Negeri Selangor, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah pada ketika itu (1957 – 1898).

Latar Belakang

Bangunan Sultan Abdul Samad ialah sebuah bangunan yang penuh dengan warisan dan kebudayaan dan masyhur dengan keunikan dan identiti seni bina dan sentiasa dipandang tinggi oleh negara lain. Ia menjadi salah satu bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sanjungan rakyat Malaysia. Sering kali bangunan ini menjadi mercu tanda yang terkenal dan sangat sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur hatta Negara Malaysia kerana di sinilah tempatnya orang ramai menyambut perayaan-perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka, serta acara-acara yang berkaitan dengan pelancongan negara.

Asal-usul

Sejarah awalnya bermula pada tahun 1893, apabila Sir William Maxwell, Residen British di Selangor telah mula merancang untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya. Tapak yang sesuai telah dipilih iaitu sebuah kawasan seluas 1.034 hektar, berhampiran dengan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang, di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Bangunan ini direka bentuk oleh seorang arkitek Inggeris bernama Anthony C. Norman dan dibantu oleh A.B. Hubbock yang pada waktu itu berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894.

Ia dibina dengan tujuan untuk menempatkan jabatan-jabatan kerajaan yang penting semasa pemerintahan British di negara kita. Pada mula pembinaannya ia hanya dikenali sebagai `Bangunan Baru Kerajaan’ (the new Government Offices), dan kemudian sebagai `Sekretariat Persekutuan’ (Federal Secretariat). Bangunan ini diguna sama dengan Kerajaan Negeri Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada tahun 1974
Bangunan ini adalah kemuncak pembangunan yang didirikan di Kuala Lumpur pada akhir abad ke 19, malah berupa kejayaan program `Bangunan Tersergam’ (Massive Building Programme), di bawah pengendalian Sir William Maxwell dan Charles Edwin Spooner sebagai perancang Bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur ketika itu.

Pengasas

Reka bentuk pelan asal bangunan ini dibuat oleh arkitek dari British yang berkhidmat di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur bernama Arthur Charles Alfred Norman dan dibantu oleh seorang jurutera, juga berasal dari British, iaitu Charles Edwin Spooner bagi memulakan kerja pembinaan bangunan ini. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. R.A.J. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal A.C. Norman selepas C.E. Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman.

Tarikh Pembinaan

Pembinaan bangunan ini dimulakan pada tahun 1893 dan siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897. Ia mengambil masa selama dua tahun tujuh bulan. Tetapi perletakan batu asas bangunan ini hanya di buat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu setelah reka bentuk bangunan tersebut dipersetujui.

Lokasi

Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi yang amat strategik di Jalan Raja, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang sedang membangun. Kawasan ini meliputi keluasan 10,200 meter persegi. Bangunan ini berhadapan dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan berhampiran persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Selangor, dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di bahagian bangunan ini terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan di mana mengalirnya pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak.

Tujuan Penubuhan Bangunan

Tujuan utama bangunan ini dibina ialah untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbiran British ketika itu dan memberi imej baru kepada Kuala Lumpur dengan menonjolkan imej seni bina Islam yang menarik. Tujuan pembinaan awal adalah sebagai Bangunan Kerajaan Baru untuk menempatkan semua Jabatan pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) di bawah satu Bangunan pentadbiran berpusat iaitu menempatkan:
(i) Sekretariat Kerajaan (G.S.O);
(i) Bilik Mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber);
(ii) Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board);
(iii) Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner);
(iv) Public Works Department (PWD);
(v) Audit dan Perbendaharaan;
(vi) Pejabat Tanah;
(vii) Jabatan Galian;
(viii) Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office).

Kos Pembinaan

Kerajaan British telah mengehadkan kos tidak melebihi RM231,000.00 untuk tujuan pembinannya. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan kos pembinaan bangunan ini dianggarkan kira-kira RM152,000 dan ada sumber yang mengatakan ia dibina dengan harga RM152,824. Namun, ia tetap menjadi sebuah bangunan yang termahal pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, bangunan ini telah mengalami pengubahsuaian yang memakan belanja RM17.2 juta selama enam tahun dan siap diubahsuai semula pada tahun 1978. Pada 24 Disember 2008, Datuk Seri Muhd Shafie Apdal telah berkata, `Bangunan ini telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai pejabat kementerian dan kos pengubahsuaiannya dianggarkan lebih kurang RM20 juta’.

Perasmian

Bangunan ini siap dan dirasmikan pada 4 April 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan menarik oleh Charles Edwin Spooner, mengenai sejarah pembinan bangunan tersebut. Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick. Berdasarkan sejarah dan keunikan tersendiri, bangunan ini telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada tahun 2007.

Keistimewaan Bangunan

A. Reka bentuk pelan
Reka bentuk pelan bangunan ini sangat unik dan merupakan antara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki berbentuk ladam yang merupakan suatu elemen penting dalam reka bentuk bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah sebuah anjung yang berhadapan dengan Padang Kelab Diraja Selangor. Semasa memasuki pintu utama bangunan ini, pelawat boleh melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung. Ruang pejabat ini dipagari serambi yang memberikan pengudaraan secara maksimum, terutama pada zaman pemerintahan British ketika itu, yang tiada penghawa dingin.

B. Bahan binaan
Sejarah pembinaan Bangunan Awam Kerajaan yang pertama di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) ini melibatkan penubuhan sebuah kilang bertempat di Brickfield bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.

C. Pengubahsuaian dan Penaiktarafan

Pada tahun 1971, bandar raya Kuala Lumpur telah dilanda banjir besar apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Banjir ini menyebabkan bangunan Sultan Abdul Samad dan Padang Kelab Selangor ditenggelami air dan menyebabkan kerosakan yang teruk pada struktur luaran dan dalaman bangunan tersebut. Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM17.2 juta. Pada tahun 1982, kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM200,000 untuk menyadur tembaga pada ketiga-tiga kubah di bangunan ini yang sekarang bersinar dengan indahnya dan menambahkan lagi seri kepada reka bentuk yang memang unik dan luar biasa itu. Terdahulu daripada ini, kubah-kubah tersebut dibuat daripada kayu dan batu-bata yang disalut dengan kepingan tembaga yang dicat hitam. Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984. Bangunan Sultan Abdul Samad telah diubah suai mulai Disember 2007 untuk dijadikan pejabat pejabat Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Malaysia.

D. Hiasan Dalaman

Di dalam bangunan ini turut dibina sebuah dataran berbentuk segi empat yang diperindahkan di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup.

Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar, dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu-bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.

Gerbang yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagunan bangunan ini.

Kegunaan Dahulu dan Sekarang

Pada zaman penjajahan British, Bangunan Sultan Abdul Samad digunakan sebagai Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen Jeneral dan Pejabat Pos Besar. Selepas merdeka, ia digunakan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan sehingga tahun 1978. Pada tahun 1978 juga, bangunan ini menempatkan Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang serta Mahkamah Tinggi Jenayah. Akhir sekali pada 24 Disember 2008, bangunan ini telah diwartakan menjadi harta warisan kebangsaan dan dijadikan sebagai pejabat rasmi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. (KPPKW). Sehubungan ini, KPKKW diberi hak untuk mentadbir dan menjadi penjaga utama keseluruhan kompleks bersejarah termasuk bangunan ini sendiri.

Cara Pembinaan

Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W.E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C.E. Spooner dari Ceylon sebagai Jurutera Negeri dan dibantu oleh A.C. Norman sebagai arkitek.

Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah oang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter. Sebagai bangunan yang menjadi pemula dalam waktu pembinaanya 1894 – 1897, hasil seni binanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan daripada aspek komposisi karektor seperti: stail, ragam hias dan pemilihan unsure-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome), dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina masjid.

Pemilihan stail seni bina Islam `Moorish’ atau `Mahometan Style’ pengaruh bangunan awam di India menjadi pilihan kepada struktur seni bina Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini menonjolkan dua stail yang unik: kehebatan pembahagian (grand proportion) dan pertembungan simetri yang klasik (classical symmetry), gaya bangunan bersejarah Eropah dengan menitik berat aspek dekorasi yang berciri the `Raj style mencerminkan fungsi utama pembinaannya di rantau ini. Bangunan dua tingkat ini mempunyai keunikan struktur yang menonjol berupa menara jam setinggi 41.5m di tengah-tengah binaan berbentuk huruf `F’, penampilan identiti dan mercu tanda tersendiri.
Ia juga merupakan bangunan awam pertama yang berdiri megah di tapak bebentuk segi tidak terletak di antara Jalan Raja dan Jalan Belanda (Jalan Mahkamah Persekutuan) yang melengkari ke arah barat sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang serta mengadap Jalan Mahkamah Tinggi (Clark St.). Sebagai bangunan yang menjadi `pemula’ dalam waktu pembinaannya, 1894 – 1897, hasil seni binanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan dari aspek komposisi karektor seperti stail, ragam hias dan pemilihan unsur-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome), dan struktur berntuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina masjid. Kesemua elemen tersebut menambah estetika yang hebat dan kemudian menjadi contoh ikutan dan penentu aliran kecenderungan dalam pembinaan bangunan awam (civic building).

POST MENARIK  Semakan Keputusan STPM 2016

Peristiwa Sejarah

Peristiwa bersejarah yang dirakam berdasarkan detik jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad ialah:
Jam besar yang terdapat pada bangunan tersebut yang dikenali sebagai `jam kemerdekaan’ telah berdenting sebanyak 12 kali pada 30 Ogos 1957 yang menandangkan kemerdekaan negara kita. Serentak dengan itu juga, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, Jalur Gemilang.
Berlaku pertukaran waktu tempatan dalam tempoh 50 tahun iaitu:

  • 31 Disember 1931 – dipercepatkan 20 minit untuk memanjangkan waktu siang.
  • 1 September 1941 – dipercepatkan lagi 10 minit.
  • 1942 – dipercepatkan dua jam mengikut waktu Tokyo, Jepun.
  • 1945 – diselaraskan semula sama seperti tahun 1941.
  • 1 Januari 1982 – dipercepatkan 30 minit untuk seragamkan dengan waktu Sabah, Sarawak, dan menjadi Malaysian Standard Time.

Selain itu, Bangunan Sultan Abdul Samad juga menjadi lokasi untuk beberapa peristiwa penting di mana bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan malam Tahun Baru setiap 1 Januari . Perarakan kereta berhias sempena Pesta Flora juga diadakan di sini. Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 2009 dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Lumba basikal Le Tour de Langkawi ditamatkan di hadapan bangunan ini. Beberapa drama dan filem tempatan , Hollywood dan Bollywood juga pernah mengadakan penggambaran di sini. Botak Chin, komunis dan penjenayah yang paling berbahaya pada suatu ketika dahulu telah mengaku bersalah dan dihukum gantung sampai mati di sini.

SUMBER – Citara Santai

2.  Kota A Famosa

Latar Belakang Kota A Famosa

A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar “A Famosa”, atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.

Fort A’ Formosa: Perobohan oleh pihak British diberhentikan oleh Sir Stamford Raffles pada 1808 sewaktu beliau singgah di Melaka. Apa yang ditinggalkan dipelihara sehingga hari kini.

Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.

Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.

Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota ‘A Famosa’ pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.

Keistimewaan Kota A Famosa

i) Bahan binaan
Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

ii) Pengubahsuaian
Pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran “Anno 1670”.

iii) Hiasan dalaman
Kota A Famosa dilengkapi dengan empat menara atau ketelom (bastion) dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Ia juga dilindungi dengan tujuh puluh meriam di semua arah.

iv) Kegunaan dahulu dan sekarang
Pada zaman dahulu bangunan ini digunakan untuk mempertahankan Melaka. Kini ia dijadikan kawasan tarikan pelancong domestik mahupun antarabangsa.

v) Cara pembinaan
Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu.

(vi) Tujuan penubuhan bangunan
A Famosa dibina bertujuan untuk dijadikan kubu pertahanan Melaka. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya

SUMBER – Noraliasaqinamy

3. Lembah Bujang

Latar Belakang Lembah Bujang

Lembah Bujang merupakan salah satu tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia kerana mempunyai pelbagai khazanah tinggalan zaman. Kedudukan Lembah Bujang adalah merangkumi kawasan seluas 144 batu persegi dengan pembatasan Bukit Choras di bahagian Utara, Sungai Muda di bahagian Selatan, Selat Melaka di bahagian Timur dan Lebuhraya Utara – Selatan di bahagian Barat. Kedudukan ini dianggap strategik kerana amat sesuai dijadikan destinasi bersejarah.

Ramai pelancong yang datang ke Lembah Bujang tertarik dengan tinggalan sejarah di tapak arkeologi atau carigali seperti runtuhan candi, struktur bandar dan pelabuhan terpendam, ratusan ribu pecahan seramik, kaca dan manik dari China, Asia Barat atau Tanah Arab serta dari India, patung-patung dan arca, batu bersurat serta peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kuno. Penemuan semula semua artifak sejarah ini telah membuktikan bahawa telah wujudnya sebuah petempatan dan kerajaan pada masa yang lampau di Lembah Bujang.

Kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang.

Nama Lembah Bujang adalah merujuk kepada perkataan Sanskrit iaitu nama pangkal “Bujang” atau “Bhujangga” yang bermaksud ular atau naga yang melambangkan kemakmuran sesuatu tempat. Kemakmuran Lembah Bujang telah menarik minat ramai pedagang, terutama daripada India, China dan Arab untuk singgah di sini. Manakala perkataan “Bhujangga” diambil daripada perkataan asal iaitu “Phujangga” yang membawa maksud golongan cerdik pandai atau “Brahmin” di dalam sistem kasta Hindu. Dengan erti kata lain, nama Lembah Bujang diambil daripada perkataan Sanskrit yang mempunyai pengaruh Hindu – Buddha.

Lembah bujang berkembang sebagai sebuah petempatan dan pelabuhan kerana mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Kebiasaannya, sesebuah tempat atau kawasan dipilih sebagai petempatan adalah berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya ialah mudah didatangi kerana kemudahan pengangkutan contohnya sungai dan jalan darat yang baik, terlindung daripada bencana semulajadi dan serangan lanun serta bekalan makanan yang mudah didapati.

Keadaan muka bumi Lembah Bujang sangat sesuai sebagai sebuah petempatan kerana mempunyai pantai dan tebing di sepanjang Sungai Merbok yang mudah dimudiki, jalan air semulajadi di sepanjang Sungai Muda dan cerun bukit yang membolehkan pedagang berlindung. Kemudahan jalan air ini dikatakan menarik minat pedagang-pedagang untuk singgah di Lembah Bujang. Pedagang-pedagang terutamanya dari China akan menggunakan jalan air ini sebagai jalan pintas untuk pergi ke pelabuhan kerajaan-kerajaan lain seperti Langkasuka dan Srivijaya. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat yang penting pada abad ke-4 hingga abad ke-11. Antaranya ialah pedagangan yang wujud antara China dengan India.

Pedagang-pedagang dari kedua-dua negara ini memerlukan tempat untuk mereka bertukar-tukar barang dagangan. Selalunya, tempat yang terletak di pertengahan jalan perdagangan kedua-dua negara akan dipilih sebagai pelaburan pertukaran barang. Lembah Bujang dilihat sebagai tempat yang sesuai di kalangan para pedagang untuk dijadikan pelabuhan untuk bertukar dan menyimpan barang-barang.

Pedagang dari China juga menggunakan Sungai Merbok sebagai jalan pintas untuk bertukar barang di pelabuhan kerajaan-kerajaan lain terutamanya Langkasuka. Sungai Merbok digunakan kerana ia dapat menjimatkan masa untuk cepat sampai ke destinasi perdagangan berbanding dengan penggunaan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang memaksa mereka mengelilingi seluruh Kepulauan Melayu.

Lembah Bujang juga berfungsi sebagai tempat menunggu pertukaran angin monsun di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Keadaan laut bergelora serta ribut laut yang berlaku semasa Angin Monsun Barat Daya bertiup di Selat Melaka dan Angin Monsun Timur Laut di Laut China Selatan memaksa pedagang-pedagang mencari tempat untuk berlindung dan Lembah Bujang merupakan tempat yang sesuai untuk pedagang-pedagang berlindung.

Para pedagang juga turut berdagang dengan penduduk-penduduk tempatan di sekitar Lembah Bujang. Menurut H.G Quarith Wales, kawasan Lembah Bujang memang telah sedia didiami oleh masyarakat pribumi yang terdiri daripada Orang Asli dan mengamalkan sistem ekonomi sara diri bergantung kepada pertanian dan hasil hutan seperti damar, rotan dan kayu-kayan.

Barang-barang ini sangat diperlukan oleh para pedagang untuk perdagangan mereka, manakala masyarakat tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar, barang pertukangan untuk keperluan harian mereka.

Masyarakat Asli ini menganuti fahaman animisme dan mudah menerima nilai-nilai baru. Ini memudahkan para pedagang yang membawa bersama mubaligh-mubaligh bagi mengembangkan ajaran agama masing-masing, sebagai contoh Pedagang India telah berjaya mengembangkan agama Hindu dan Buddha pada abad ke-5 di Lembah Bujang. Lembah Bujang seterusnya berkembang menjadi pusat penyebaran agama Hindu – Buddha yang terkenal kerana sikap terbuka penduduknya dan tiada langsung menerima penentangan daripada masyarakat tempatan.

POST MENARIK  Keputusan Liga Futsal Kebangsaan 2017

Selain itu, Lembah Bujang juga berkembang sebagai petempatan dan pelaburan disebabkan oleh fungsi Gunung Jerai. Kedudukan Gunung Jerai yang merupakan gunung tertinggi di Barat Semenanjung Tanah Melayu menjadikan kawasan Lembah Bujang sebagai tempat penting.

Pedagang-pedagang telah menjadikan Gunung Jerai sebagai petunjuk arah dan panduan untuk mengelakan mereka sesat terutama pada waktu malam. Puncak Gunung Jerai dapat dilihat dengan jelas dari lautan.

Bagi pedagang dari India pula tertarik dengan keadaan berdekatan dengan Gunung Jerai terutama Lembah Bujang kerana mempunyai banyak air terjun dan subur untuk pertanian. Menurut ajaran agama Hindu, tempat tinggi seperti Kaki Gunung Jerai adalah tempat suci. Oleh itu, mereka memilih Lembah Bujang untuk mengembangkan Agama Hindu.

Abad ke-4 hingga abad ke-11 merupakan zaman kegemilangan Lembah Bujang. Lembah Bujang telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting di antara Laut Mediteranean dan China. Lembah Bujang pernah berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Ini membantu Lembah Bujang menjadi sebuah pelabuhan yang pesat.

Ramai pedagang yang singgah di sini untuk berdagang dan bertukar barang. Pedagang-pedagang China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai “Yeh-po-ti” dan “Chieh Cha”.

Pedagang India pula menggelarkan Lembah Bujang sebagai “Kataha”, “Katahanagara”, “Kidaram”, “Kadaram” dan “Kalagam” manakala pedagang dari Arab mengenalinya sebagai “Kalah” atau “Qalha”. Lembah Bujang juga terdapat di dalam catatan dan sumber bertulis Barat. Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai “Quedah”, “Quedaram”, “Kheddah”, “Gedda” dan sebagainya.

Peninggalan Agama Hindu – Buddha yang ditemui di Lembah Bujang merupakan kesan daripada proses kemasukan agama Hindu – Buddha melalui perdagangan. Ia juga menunjukkan bahawa “Proses Penghinduan” atau “Indianisasi” berlaku dengan ketaranya di utara Tanah Melayu.

Lamb (1959) telah mengemukakan beberapa peringkat perkembangan kebudayaan di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya.

Peringkat Perkembangan Awal Pengaruh Buddha

Peringkat ini bermula pada abad ke-4. Kawasannya meliputi Bukit Meriam, Bukit Choras dan sekitar tepi pantai. Agama Buddha di bawa masuk melalui aktiviti perdagangan. Banyak candi dibina dan ditemui di kawasan-kawasan ini.

Peringkat Kegemilangan Kerajaan Srivijaya

Pada abad ke-7 hingga abad ke-9, Lembah Bujang berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang turut berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Hindu di nusantara kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Kerajaan Srivijaya.

Peringkat Pengkalan Bujang

Peringkat ini merangkumi abad ke-10 hingga abad ke-14. Lembah Bujang telah mencapai taraf pelaburan entrepot. Agama Hindu-Buddha telah berkembang ke kawasan Matang Pasir, Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu.

Peringkat Kuala Muda

Peringkat ini berlaku pada abad ke 14. Perubahan muara Sungai Muda telah menyebabkan perkembangan kebudayaan semakin malap. Candi-candi banyak dibina di kawasan pedalaman.
Ahli-ahli sejarah lain pula mengatakan agama Hindu-Buddha dibawa masuk ke Lembah Bujang melalui tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap Buddha awal. Ia berlangsung dari abad ke-4 hingga abad ke-5. Mubaligh-mubaligh agama Buddha telah masuk untuk berdagang bersama pedagang-pedagang India.

Tahap kedua ialah tahap Hindu iaitu penganut Dewa Siva. Tahap ini berlaku dari abad ke-6 hingga abad ke-8. Pada masa ini, Kerajaan Srivijaya ialah pusat penyebaran agama Hindu yang terkenal. Ia sekaligus dibawa ke Lembah Bujang melalui aktiviti penaklukan, perkahwinan dan hubungan diplomatik. Pada masa itu, Lembah Bujang masih berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang seterusnya menjadi pusat agama Hindu menggantikan Srivijaya.

Tahap yang terakhir ialah tahap Buddha aliran Mahayana. Ia bermula pada abad ke-9 hingga abad ke-14. Pada masa ini, penduduk tempatan telah berkemahiran membina candi dan menguasai tulisan India terutamanya tulisan “Pallawa”.

Pengaruh Lembah Bujang mula merosot apabila agama Islam dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab dan kemunculan beberapa pelaburan baru seperti Melaka, Acheh, Singapura dan sebagainya. Penduduk sekitar Lembah Bujang mula menganut agama Islam dan menghapuskan bukti-bukti peninggalan agama Hindu-Buddha.

Selain itu, perubahan muara Sungai Muda dan sungai-sungai berdekatan yang semakin cetek menyebabkan pedagang beralih ke pusat perdagangan lain.

Penulisan sejarah di Kedah Tua amat bergantung kepada peninggalan-peninggalan arkeologi di Lembah Bujang. Proses carigali adalah salah satu kaedah arkeologi. Penyelidikan terhadap arkeologi di Lembah Bujang telah dimulakan pada sekitar tahun 1840an oleh Kolonel James Low. Penemuan ini menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk membongkar sejarah Kedah Tua.

Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.

Tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah tadi mengandungi pelbagai tinggalan sejarah, seperti struktur atau jumpaan artifak sama ada berkaitan dengan perdagangan atau yang berkaitan dengan artifak keagamaan atau struktur bangunan candi.

Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.

Kebanyakan barang-barang yang ditemui ini dibuat daripada tanah liat. Bahan binaan untuk candi pula terdiri daripada batu bata, batu sungai, mineral laterit dan batu granit.

Terdapat beberapa candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19,21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).

Candi-candi ini menjadi bukti bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pusat penyebaran agama Hindu suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan. Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.

SUMBER – Memori Kedah

4. Kota Belanda

Latar Belakang Bangunan Kota Belanda

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari Negeri Perak. Kota ini terletak di sebuah teluk di Pulau Pangkor yang dikenali sebagai Kampung Teluk Gedung iaitu sebuah perkampungan nelayan pada masa itu.

Pembinaan Kota ini oleh Belanda mempunyai perkaitan rapat dengan tujuan kedatangan orang-orang Belanda ke Tanah Melayu pada permulaan abad Ke-17 Masihi. Pihak Belanda yang membuat hubungan baik dengan Perak telah berjaya dalam urusan perdagangan bijih timah.Syarikat Hindia Timur Belanda berjaya mendapat kuasa monopoli ke atas perdagangan bijih timah di Negeri Perak.Untuk itu orang-orang Belanda pernah mendirikan loji untuk menyimpan bijih timahnya pada tahun 1651 tetapi telah dimusnahkan oleh para pembesar Perak yang menentang dasar kuasa monopoli Belanda itu.

Berikutan dengan itu pada tahun 1670 satu perintah telah dikeluarkan dari Betawi, Pusat Pentadbiran Syarikat Hindia Timur Belanda supaya didirikan sebuah gedung yang diperbuat daripada kayu guna sebagai tempat simpanan bijih timah. Dengan itu terbinalah sebuah gedung di suatu tempat strategik iaitu di Kampung Teluk Gedung.Sepuluh tahun kemudian tembok gedung tersebut telah digantikan dengan batu-bata.

Tindakan Belanda memperkukuhkan gedungnya itu menimbulkan reaksi daripada orang-orang Melayu.Pada tahun 1690 orang-orang Melayu dibawah pimpinan Panglima Kulup telah membinasakan gedung tersebut.Serangan ini mengakibatkan ramai daripada orang-orang Belanda terbunuh dan gedung itu telah ditinggalkan.Bagaimana pun tidak lama selepas itu pihak Belanda datang semula lalu memperbaiki dan mendudukinya semula.

Pada tahun 1743-1748, pihak Belanda telah menempatkan 60 orang askar termasuk 30 orang berbangsa Eropah di gedung ini bagi mengawalnya.Pada tahun 1784 pula Belanda telah membina sebuah lagi gedung berdekatan dengan Sungai Perak. Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung lama yang terletak di Pulau Pangkor itu ditinggalkan.Akibat tiada penjagaan, gedung ini telah mengalami kerosakan sehinggalah pada tahun 1973 apabila pihak Muzium Negara memulihkan kembali gedung ini.Kota atau gedung yang dibaiki semula ini mengikut bentuk serta ukurannya yang asal iaitu 3 x 5 meter persegi.Manakala tembok batunya setinggi 6 – 7 meter.Bagaimana pun bumbungnya tidak dapat dibina kerana bentuk asalnya tidak diketahui oleh pihak Muzium Negara.

Berhampiran dengan Kota Belanda ini terdapat satu Batu Bersurat Belanda. Batu Bersurat ini letaknya di tepi pantai kira-kira 100 meter dari Kota Belanda.Tulisan pada Batu Bersurat ini dipercayai dipahat oleh askar-askar kompeni Belanda sewaktu mereka mendiami gedung atau Kota Belanda kira-kira dalam tahun 1743. Ia juga dipercayai sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut.Orang-orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.Sebagai mengingati peristiwa itu, orang-orang Belanda telah membuat batu tersebut dengan menggambarkan seekor binatang buas (dipercayai harimau) sedang menangkap budak.Lain-lain pahatan mungkin merupakan nama-nama pemahat yang dinyata secara huruf ringkas seperti IK, R.O. dan lain-lain dan terdapat pahatan bertulis V.O.C. iaitu singkatan nama Verenidge Oon Stindische Company – Syarikat Hindia Timur Belanda.

SUMBER – Akrib Negara Malaysia

5. Kubu Margherita

Latar Belakang Kubu Margherita

Kubu Margherita di bina pada 1878 dan siap pada tahun 1879 dengan jumlah kos 8,100 Dolar Spanish. Terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Tempat ini dikelilingi oleh Kampung Melayu. Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret.. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit mengadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi.

Pada tahun 1932, kubu ini pernah dijadikan sebagai pusat Renjer Sarawak. Pada asalnya iaitu sebelum tahun 1934 hanya terdapat bilik tahanan tetapi telah ditambah menjadi kubu. Kubu ini juga pernah dijadikan sebagai pengkalan bagi tentera Jepun pada tahun 1941. memandangkan bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi, pada tahun 1971 kubu ini telah disenaraikan sebagai Bangunan Bersejarah Sarawak di bawah Antiquities Ordinance (Ordinan Warisan Bandaraya Sarawak, 1993).

Kubu ini berbentuk bangunan segi empat dibina dari batu-bata berplaster. Ia mempunyai 3 tingkat iaitu tingkat bawah berlantai tanah untuk kawalan dan bilik tahanan. Tingkat 1 dan 2 berlantai kayu belian untuk ruang kediaman tentera. Manakala bahagian bumbung merupakan tempat kawalan. Tangga putar (spiral staircase) daripada kayu belian dan bertiang besi terletak disatu penjuru menghubungkan setiap aras sehingga ke bumbung. Menara tangga ini lebih tinggi dari bumbung untuk pengawal meninjau jarak yang lebih jauh.

Akibat serangan yang lebih hebat dari penduduk pribumi, kubu ini telah diperbesar pada tahun 1934 dengan membina tembok tinggi yang bersambung dengan bangunan asal. Bangunan ini mempunyai halaman salam yang luas untuk perbarisan tentera. Ia dilengkapi dengan dua menara tinjau dan laluan untuk tentera berkawal pada sepanjang tembok. Lubang-lubang meriam dibina pada tembok menghala Sungai Sarawak dan perkampungan Melayu di bawah bukit.

Kubu ini dijadikan pengkalan Renjer Sarawak ada tahun 1932, Pejabat Kampetai Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dan terakhir sebagai Muzium Polis. Jabatan Warisan Negara telah membuat kerja pembaikan pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, ia mengalami kerosakan setelah dikosongkan oleh Polis sewaktu projek pembinaan bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sawarak bersebelahan kubu ini. Konservasi kubu ini merupakan salah satu projek utama Jabatan Warisan Negara pada tahun 2011-2012 di bawah Program Rancangan Malaysia ke-10.

SUMBER – Jabatan Warisan Negara

Segala info tentang Latar Belakang Bangunan Bersejarah Di Malaysia disertakan sumber. Sebarang pertanyaan dan permintaan boleh dikemukan dia ruang komen di bawah. Terima Kasih.

(Visited 15,831 times, 1 visits today)

3 Comments

Leave a Reply
  1. sy nk sebab bangunan trsbut dbina dan fungsi bngunan pda msa kini..psl fort margherita,sarawak bgi huraian skli… tq☺

  2. saya boleh mendapat maklumat tentang bangunan sultan abdul samad dengan senang tapi saya tdk dapat pemilik dan jenis bangunan saya harap diadakan . dan saya juga senang cari tentang maklumat bangunan abdul samad

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kalendar Islam 2016 Malaysia

Contoh Kaedah Kajian Sejarah PT3 Bangunan Bersejarah